Malaysia April Ini

Malaysia semakin panas. Panas dek musim kemarau yang sedang melanda. Paras air di sungai - sungai utama pun semakin menyusut. Sungai Kelantan pun aku boleh nampak penyusutannya yang boleh dikatakan agak banyak. Beberapa bulan yang lepas, aku saksikan yang paras air Sungai Kelantan, arusnya hampir mencecah jambatan arusnya. Hari ini aku saksikan butir - butir kasar pasir kelihatan jelas di dasarnya.

Alhamdulillah. Semalam hujan menimpa bumi ini. Rahmat untuk semua. Binatang, tumbuhan dan manusia yang serba bijak dalam serba serbi perkara. Bijak, tapi tak pandai untuk bersyukur atas anugerah yang diberikan. Berbalik kepada topik Malaysia yang semakin panas tadi, bahangnya belum lagi hilang biarpun selebat mana hujan yang turun mencurah di atas tanah yang pernah terkenal dengan lubuk emas pada suatu ketika dahulu. Sejarah Tanah Melayu. Kian dilupakan. Bukan?

Panas dengan GST masih belum lagi hilang. Katanya akan ada demo besar - besaran pada 1 Mei ni. Entah jadi entah tidak. Demo yang akan diadakan di ibu negara. Panas dengan harga topup pun boleh naik sebanyak 6%. Tapi, lagi panas sebab semua rakyat telah dipermainkan. Mana tidaknya, dipermainkan oleh menteri - menteri yang dipilih oleh rakyat. Sekali kata topup tak dikenakan GST. Alih - alih pada 1 April, nak beli topup RM 10 kena bayar RM 10.60. Sekali topup bukan RM 10 kan? Nak subscribe data internet 2GB, paling tidak kena topup RM 40!!

Itu baru panas pasal GST. Sudah 10 hari berlalu. Nanti dulu, ada lagi yang tengah panas sekarang ni. Mainan pertikaian, dan juga mainan soal jawab antara Perdana Menteri dan juga bekas Perdana Menteri. Yang itu soal, yang itu pertikai, yang itu inginkan jawapan, manakala yang ini jawab, yang ini bersumpah, yang ini berhujah. Rakyat sedang menyaksikan dua individu yang ada pangkat dan mempunyai nama ini dalam gelanggang permainan politik mereka. Yang itu pertikai siapa yang menjadi dalang pembunuhan Altantuya. Yang ini bersumpah yang dia tak kenal siapa itu Altantuya. Yang itu... Yang ini... di mana kesudahannya?

Malaysia semakin hari semakin kucar kacir aku tengok. Tak gitu? Sebab politikkah? Sistem demokrasi berparlimenkah? Nak kata sistem yang salah 100 peratus mungkin tidak adil. Mana - mana sistem tetap ada flaw kecuali sistem itu daripada Allah. Aku berani kata yang negara kita kucar - kacir dek kerana individu. Daripada individu yang bermasalah, dia akan beralih kepada masyarakat dan seterusnya kepada negara. Islahkan diri sendiri, islahkan keluarga, nescaya masyarakat yang majmuk akan damai dan harmoni. Masyarakat yang harmoni akan melahirkan negara yang aman dan stabil. Tak gitu?



Sekali lagi telah dipermainkan oleh para menteri yang bijak pandai. Sebelum 1 April, beriya yang mereka kata harga rumah tak akan naik dan akan dikecualikan daripada dikenakan GST. Hmmm... sampai bila kita nak kena kencing macam ni? Habis hancing baunya. Kalau sekali tak apa lagi, kalau dah berkali - kali kena kencing. Macam mana tu? Eh, boleh didakwa di bawah akta hasutan ni. POTA pun dah diluluskan untuk menggantikan ISA. Okay. Ha ha ha.

GST Sedang Melambai - lambai

Cuba bayangkan berapa yang perlu kita sebenarnya untuk GST nanti.
Bahang GST semakin hangat. 1 April sudah melambai - lambai. Nampaknya ramai rakyat Malaysia  yang berharap GST ini adalah satu daripada (April Fool) yang dirancangkan oleh kerajaan. Tetapi, jangan nak bermimpi la ye. 6 peratus cukai barangan dan perkhidmatan akan dikenakan oleh kerajaan Malaysia ke atas rakyatnya. Sungguh, aku yakin yang ramai rakyat Malaysia yang akan terbeban dengan angka 6% ini.

Di saat ekonomi Malaysia yang semakin goyah dan tidak menentu, sewajarnya kerajaan perlu menimbangkan semula dengan rancangan pelaksanaan GST ini. Bahkan, bukan sahaja ekonomi Malaysia yang makin hari makin gawat, masalah dalaman kerajaan yang melibatkan wang berjuta - juta ringgit pun masih belum dapat diselesaikan oleh kerajaan. Selesaikan dahulu apa yang menjadi barah kepada tunjangnya jika mahu memperelokkan buahnya dan mengeluarkan hasil yang baik. Malaysia tengah pincang dengan kejatuhan mata wang ringgit dan dengan kehadiran sistem GST adakah ianya akan mengubah sedikit sebanyak nilai mata wang kita?

Perhatikan sahaja bagaimana isu 1MDB yang melibatkan berbillion - billion ringgit. Duit siapa yang kerajaan guna kalau bukan daripada kutipan - kutipan duit rakyat? Siapa yang pernah belajar sejarah pasti tahu bagaimana sesebuah kerajaan itu beroperasi dan dari mana peratus besar sumber dananya, Langkah kerajaan untuk melaksanakan GST mungkin tidak akan menjadi masalah andai kata masalah ketirisan duit, tender - tender kerajaan, masalah rasuah kakitangan awam dan isu projek - projek besar kerajaan dengan kroni tiada kedengaran desas - desusnya. Ini hampir sahaja setiap bulan, ada sahaja saudara Rafizi Ramli mengeluarkan fakta, sumber dan angka tentang penyelewangan angkara tangan - tangan ghaib dalam kerajaan.

Mungkin aku bukan orang ekonomi untuk bersuara dalam hal ini. Tapi, tengok sahaja orang - orang yang pakar dalam ekonomi dan juga kewangan, Tun Dr Mahathir sendiri pun menyuarakan dengan lantangnya tentang ketidakperluan GST untuk dilaksanakan di negara ini untuk sekarang ini. Sedia maklum yang Mahathir adalah Perdana Menteri yang paling lama memegang tampuk pemerintahan negara. Mungkin dia lebih arif. Perdana Menteri kita sekarang pun nampaknya masih kelu dan berdiam diri lagi dari sebarang jawapan apa yang dilontarkan oleh Mahathir kepadanya.

Isu pembelian jet, isu kekayaan anak tirinya, isu kekayaan anak beranaknya sendiri, isu perbelanjaan isterinya dan pelbagai lagi isu - isu yang belum lagi terjawab dengan fakta dan angka. Yang berlegar di ruang perbincangan hanyalah teori dan andaian yang tidak disokong oleh bukti yang cukup kuat. Mahathir mengeluarkan amaran yang sekiranya Pak Najib melaksanakan GST, besar kemungkinan kerajaan UMNO yang menjadi pemerintah sekarang akan gugur pada pilihan raya yang akan datang. Setakat mana betulnya ramalan Tun?

**Mungkinkah GST ini untuk menampung balik ketirisan dana dan duit rakyat akibat keborosan orang atasan dan marhaen pula yang perlu menanggungnya?

Takziah : Ahmad Izzat Bin Rosli



Sabtu yang lepas aku masih ingat lagi riak mukanya yang tersenyum lebar semasa di kenduri kahwinnya. Sempat berceloteh, usik - usik manja. Dia baru mengadakan kenduri kahwin setelah mengikat tali perkahwinan pada bulan Disember tahun lepas. Berpakaian ungu pada tengaharinya dan berpakaian baju Melayu pink pada sebelah petangnya. Tapi, pada pagi semalam aku mendapat khabar duka lagi lara yang dia sudah pergi mengadap Allah. Bertemu Sang Pencipta sekian makhluk. Selang sehari dia mengadakan kenduri kahwin, dia pergi buat selamanya dari dunia ini.

Ya Allah... Aku terkejut dan sedikit terkesima bila mendengar berita kehilangannya di sebuah group whatsapp batch yang sama - sama satu pengajian peringkat menengah dahulu. Ahmad Izzat Bin Rosli. Seorang kawan dan juga sahabat. Lebih 5 tahun aku membesar di alam asrama bersama - sama dengan dia. Seorang yang selalu menceriakan suasana. Sejak dari Tingkatan Satu lagi dia mendapat nama gelaran yang terkenal dengan panggilan 'Ijat Misai'. Itu semua kenangan dan juga peringatan yang mati itu tidak mengenal usia dan juga tidak mengenal siapa. Semua orang bakal pergi. Bezanya cepat atau lambat.

Kronologi kemalangannya tidak lah aku tahu dengan lebih terperinci. Mengikut daripada maklumat yang aku dapat, arwah bertolak dari rumahnya di Kelantan menuju ke Kuala Lipis dalam pukul 3 pagi hari Ahad dan kemalangan berlaku dalam pukul 6 pagi. Punca kemalangan dikatakan yang arwah hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan. Menurut cerita ibunya, arwah hanya cedera kecil di bahagian kepala, hanya goresan kecil. Isteri di sebelahnya pun terlelap dan sedar - sedar pun dah tengok arwah sudah tiada dan dalam keadaan kereta sudah terbabas.

Arwah merupakan anak ketiga daripada 5 adik beradik. Aku harap dapat berjumpanya lagi di akhirat kelak. Mungkin di syurga nanti, insyaAllah. Matinya dia tanpa sebarang amaran. Tanpa sebarang tanda. Sihat tubuh badan tanpa sebarang masalah kesihatan, tiba - tiba nyawanya diambil malaikat. Sungguh, ia suatu peringatan buat insan - insan yang masih hidup. Tak semestinya yang bertahun - tahun terlantar di rumah sakit itu yang akan pergi dahulu. Tak semua macam tu. Semuanya perlu sentiasa bersedia dan selalu memperbanyakkan amalan soleh.

Sahabat, rehatlah kamu disana.