REVIEW BUKU : GURU AINI KARYA ANDREA HIRATA

https://drive.google.com/uc?export=view&id=1QB26PrNVsGWdISoWoVwrHNO5FZjoQStj

Karya Andrea Hirata yang tidak mengecewakan. Terbaik. Sebuah cerita yang berlatar belakang tentang pendidikan. Matematik khususnya. Sungguh, mampu meninggalkan satu kesan yang dalam pada jiwa manusia yang normal.


Menceritakan tentang seorang yang dari bangku sekolah lagi bercita-cita ingin menjadi seorang guru matematik. Guru matematik yang jauh di pedalaman, mengajar anak-anak desa dan kampung supaya mahir matematik. Namanya Desi Istiqamah. Dipanggil Bu Desi oleh anak muridnya.


Seorang guru yang berprinsip dah sentiasa teguh dengan prinsipnya. Dalam kalangan muridnya, Bu Desi mungkin boleh dianggap seorang yang garang dan tegas. Hanya mahukan kejayaan sebagai hasil daripada anak muridnya.


Buku ini boleh dibahagikan kepada 2 babak besar. Satu babak menceritakan tentang Bu Desi. Bagaimana pada awalnya dia boleh bercita-cita ingin menjadi seorang guru matematik dek kerana terkesan dan kagum dengan guru matematiknya dahulu. Dari situ, dia menanamkan satu azam. Ingin menjadi guru matematik, berkorban apa sahaja untuk memandaikan anak muridnya. Itu ajaran gurunya. Dia mahu jadi seperti gurunya.


Dia meneruskan cita-citanya dan dia berada di jalan yang betul. Dia memasuki sekolah perguruan yang khusus untuk menjadi guru matematik dan berjaya tamat dengan gemilangnya sebagai pelajar terbaik kelasnya. Diberi pilihan sebagai penghormatan untuk dia memilih penempatan, tetapi memilih untuk mengundi sama dengan kawan sekelasnya. Sungguh merendah diri watak yang digarap oleh Andrea.


Maka bermula lah perjalanan ke sebuah sekolah yang jauh di desa. 6 hari 6 malam baru sampai. Perjalanan yang merentas darat, sungai dan juga laut. Sebuah pulau, di sana terletak cita-cita Guru Desi.


Mesti ada yang tertanya, apa simboliknya sepasang kasut yang tergantung sebagai penghias kulit buku itu?


Kasut itu adalah kasut pemberian ayah Guru Desi sebelum dia bertolak menggalas jawatan seorang guru. Dia berjanji pada diri sendiri selagi mana dia tidak berjumpa dengan pelajar yang genius matematik, selagi itu dia akan memakai kasut tersebut. Biarpun usang dan buruk.


Kemudian, pembaca dibawa kepada watak aini. Seorang pelajar yang lembab dan bodoh dalam mata pelajaran. Lebih-lebih lagi jika mata pelajaran matematik. Dia sendiri sudah putus asa dan amat benci dengan matematik. Bersamanya ada dua lagi rakan rapat yang sama bodoh matematik.


Ibu kepada Aini merupakan bekas murid kepada Guru Desi. Bermakna sudah lama benar Guru Desi mengajar di kampung tersebut. Dan, ibu kepada Aini juga merupakan seorang yang bodoh dalam matematik.


Akhirnya pndangan aini terhadap matematik berubah. Dia ingin menjadi seorang yang pandai dalam matematik. Ini terjadi kerana ayahnya tiba-tiba ditimpa suatu penyakit misteri. Sejak itu dia bercita-cita ingin menjadi doktor untuk mengubat sakit ayahnya. 


Maka bermulalah perjalanan Aini untuk menjadi seorang yang pandai demi menggapai cita-cita menjadi seorang doktor. Aini tekad untuk berguru dengan Guru Desi. Mencuba menukar kelasnya yang sekarang kepada Guru Desi biarpun ramai yang menghalang termasuk kawan karib serta gurunya sendiri.


Dua cita-cita yang bersilang dan membentuk titik pada mata pelajaran matematik. Betapa payah usaha Aini untuk menjadi pandai dan betapa payah usaha Guru Desi untuk memandaikan Aini. Semuanya digarap dengan baik oleh Pak Andrea yang mana penghujungnya adalah manis dan mampu membuat pembaca tersenyum puas. Berjaya juga akhirnya si Aini dan Guru Desi dalam menggapai cita-cita mereka.


Okay... boleh beli buku ini dan terus baca. Pasti tidak menyesal. 
Buku ini menggunakan Bahasa Melayu Indonesia, tetapi masih boleh difahami dengan baik oleh pembaca berbahasa Melayu Malaysia. 



REVIEW BUKU : GURU AINI KARYA ANDREA HIRATA REVIEW BUKU : GURU AINI KARYA ANDREA HIRATA Reviewed by Hafizin Jamil on Wednesday, April 22, 2020 Rating: 5

No comments:

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.

Powered by Blogger.