TIPS HAFALAN AL-QURAN SUPAYA LANCAR



Sepanjang tempoh PKP ni, dan sekarang ini PKPB yang berlangsung sehingga 12 Mei, sepanjang hari aku menjalankan kelas online untuk subjek Hifz Al-Quran. Arahan majikan supaya setiap guru al-Quran melaksanakan kelas secara online. Jadi, untuk menunjukkan betapa tingginya komitmen dan betapa taatnya aku kepada majikan, bermula 2 April, kelas aku berlangsung tanpa ada cuti. Bagus kan? Hahaha. 

Dari situ, aku boleh lihat pelajar aku semakin susah untuk menghafal.
Mungkin sebab mereka semakin masuk ke level yang sukar. Awal-awal boleh la sebab ramai dari mereka yang masih lagi di Juzuk 30 sehinggalah masuk Juzuk 1, dah boleh lihat rentak yang semakin perlahan dari mereka. Sehingga ada ibu bapa yang whatsapp dalam group untuk bertanyakan tips untuk anak-anak mereka dapat menghafal dengan cepat dan cepat juga ingatnya. Mungkin ibu bapa tak sanggup melihat anak mereka menderita menghafal al-Quran tetapi sukar untuk anak-anak ingat.

Jadi, apa yang aku kongsi adalah apa yang aku ambil daripada pengalaman aku sendiri berdasarkan apa yang aku praktikkan dari saranan para penghafal al-Quran. Secara asasnya ianya adalah teknik hafalan atau teknik hafazan yang perlu dipraktikkan dan perlukan latihan dan ianya juga cuma teknik secara luaran. Ada satu lagi teknik yang tak ramai orang boleh buat. Ianya dinamakan teknik hafalan secara dalaman. Secara batin gitu. Fuuuuhh. Haha. Ianya cukup senang bagi yang senang, tapi tak ramai yang mampu melakukannya. Tips atau tekniknya mudah aje, korang jaga agama Allah, jaga halal haram dan jaga syariat Allah. Bukankah orang tidak melakukan dosa itu lagi mudah untuk ingat Kalamullah?

Sedikit tips hafazan untuk anak-anak menghafal supaya lancar untuk tasmi’.

 1. pastikan muka surat yang ingin dihafal betul-betul lancar bacaan secara melihat mushaf dan tidak ada kesalahan tertinggal kalimah/salah barus. Selagi tak lancar, kena baca berulang kali sampai lancar dengan melihat mushaf.

 2. Semasa baca, lihat susunan ayat dan kalimah di dalam mushaf supaya senang untuk kita bayangkan kedudukannya semasa menghafal nanti.

 3. Tengok terjemahan/maksud dalam bahasa melayu untuk setiap ayat. Baca dan fahami terjemahan untuk keseluruhan muka surat yang akan dihafal.

 4. Mulakan menghafal dengan ayat pertama pada muka surat yang ingin dihafal. Jika ayat panjang, potong di tempat yang selesa untuk kita hafal supaya tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek untuk menghafal.

 5. Mula hafal potongan ayat pertama. Tengok mushaf sekiranya tidak ingat. Sesekali tengok terjemahan/maksud ayat dalam bahasa melayu.

 6. Hafalan boleh dikira ingat sekiranya kita dapat ulang potongan ayat tanpa melihat mushaf. Teruskan ulang ayat pertama tanpa melihat mushaf sehingga beberapa kali. sehingga yakin sudah lancar. Ada yang perlu sampai 40 kali ulang supaya lancar. Bergantung kepada seseorang.

 7. Ingat ayat pertama, teruskan menghafal ayat kedua. Sama macam hafal ayat pertama. Tengok terjemahan/maksud ayat dalam bahasa melayu. Hafal dan bayangkan di mana kedudukan setiap kalimah dan ayat berada di muka surat tersebut.

 8. Ulang ayat kedua sehingga betul-betul lancar tanpa melihat mushaf. Jika lancar dengan sempurna, *baca semula ayat pertama yang dihafaz* tadi disambung terus dengan ayat kedua. Jika ingat, dengan lancar, boleh teruskan menghafal ayat ketiga.

 9. Jika tidak ingat, ulang hafal kembali ayat pertama sehingga ingat dengan sempurna bersama dengan ayat kedua.

 10. Hafal ayat ketiga seperti hafal ayat pertama dan kedua. Sekiranya sudah lancar dan betul2 ingat, baca semula ayat satu sehingga ayat ketiga. Jika tidak ingat atau sangkut ayat kedua atau ayat satu, ulang semula dan baiki tempat salah. Ulang sehingga lancar ayat 1-3. Jangan sesekali pergi menghafal ayat keempat. Ini penting untuk ingat sambungan kepala ayat dengan ekor ayat. 

 11. Ulang langkah hafalan sehingga habis kesemua ayat pada muka surat tersebut. Jika habis, pelajar pasti akn dapat baca ayat pertama hingga akhir ayat di muka surat tersebut dengan lancar. Ulang muka surat tersebut sekurang-kurangnya 7kali biar pun sudah lancar. 

 12. Jika tidak ingat, sangkut ketika ulang kesemua ayat yang dihafal tadi di pertengahan, jangan teruskan baca sehingga akhir muka surat, mula semula dengan ayat di awal muka surat. Teruskan hingga habis. Jika sangkut, mula semula dari awal.

 13. Sambil baca, pastikan dapat faham secara ringkasan apa yang dibaca atau apa yang ayat quran tersebut bercerita.

 14. Kebiasaan pelajar ghairah nak habiskan hafal hingga ayat paling last biar pun ayat awal masih lagi tidak ingat. Ingat ala kadar sudah beralih untuk hafal ayat yang seterusnya. Ini perlu dielakkan oleh pelajar.

Kuncinya adalah ulang, ulang, ulang sehingga lancar.
Ulang + bayangkan kedudukan ayat/kalimah di muka surat + faham makna + fokus = insyaAllah lancar.
TIPS HAFALAN AL-QURAN SUPAYA LANCAR TIPS HAFALAN AL-QURAN SUPAYA LANCAR Reviewed by Hafizin Jamil on Saturday, May 09, 2020 Rating: 5

No comments:

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.

Powered by Blogger.