LATA KAHSMIR DI JELI : TEMPAT WAJIB SINGGAH DI KELANTAN

 

Acah-acah model Bollywood

Tempat ini dikenali dengan Lata Kashmir yang terletak di Jeli.

Cari saja di google maps, ‘Kashmir Jeli’. Google maps akan tunjukkan jalan betul-betul sampai di sini. Di sini adalah kawasan kampung dan akan nampak suasana kampung bila saja masuk simpang Batu Melintang.

Lagi cantik kalau arusnya laju

Pernah viral kerana tempatnya cantik dengan hamparan rumput menghijau. Kawasan ini pernah viral di instafamous dan juga page-page Facebook yang mengatakan tempat ini cantik menghijau. Tapi, untuk tidak menghampakan korang dan bukannya indah khabar dari rupa, awal lagi aku pesan yang tempat ini akan cantik bila rumputnya baru saja dipotong. 

Korang jangan ingat yang rumput ini tumbuh dan tidak panjang-panjang. Nanti bila korang sampai ketika rumput panjang, jangan nak mengeluh. Kalau tak nak kecewa, sila bawa siap-siap mesin rumput di dalam bonet kereta. 

Tempat di sana adalah yang tempat larangan dan sudah dipagar

Tempat ini adalah kawasan kepunyaan TNB. Bila sampai sini, korang akan nampak yang separuh di bahagian kirinya sudah dipagar. Cuma bahagian tempat aku bergambar ini saja masih lagi tidak berpagar. Tiangnya sudah ada tapi tidak tahu bila TNB akan pasang pagarnya.

Tapi jangan risau, tidak perlu permit untuk masuk ke sini setakat ini. Selagi tidak ada pintu pagar, korang boleh terus masuk ke sini dengan kereta. Park betul-betul di hadapan lokang sebelum sampai di atas.

Cantik tak?

Ramai yang mengatakan tempat ini seperti Kashmir biarpun yang mengatakan itu belum lagi sampai ke Kashmir. Berangan lah tu bila tengok cerita Bollywood semacam cerita bertajuk Bajrangi Baijan. Tempat yang luas dengan hamparan rumput hijau, belakangnya berdiri megah gunung-gunung yang menghijau. Jalan pula sedikit di hadapan, terdapat air sungai yang jernih mengalir. Bila sentuh airnya, auchhh... terasa sejuk dan segar. Nampak sangat terpengaruh dengan cerita Bollywood.

Tempat ini cantik, tetapi tidak secantik Kashmir. Aku pun bagitahu juga biarpun aku sendiri tidak sampai lagi ke Kashmir. Ada anak sungai. Tetapi ketika aku pergi, arus sungainya tidaklah mengalir laju. Perlahan saja. Aku tidak pasti sama ada, ada masa-masa yang arusnya akan mengalir laju.

Superb. Lawa. Cantik. Masya Allah.

Bila aku pergi dekat, air sungainya tidaklah begitu cantik. Bukan sungai yang datangnya terus dari punca air di bukit atau gunung. Tak segar rasanya. Batunya ada batu yang kecil-kecil. Nampak lawa untuk bergambar dan ada lumut di permukaan batu. Jadi, hati-hati bila memijak batu tersebut. Korang boleh licin disebabkan permukaannya yang berlumut.

Seperti aku cakap, tempat ini adalah kawasan kampung. Kalau tengok gambar, gambar yang aku ambil itu adalah bahagian bawah. Di bahagian atas tempat letak kereta, korang akan nampak adanya tahi-tahi lembu. Ada pelbagai jenis. Ada yang telah keras dan ada yang baru saja jatuh dari punggung lembu. Fresh dan melekit.

Subur menghijau.

Jadi, jangan nak anggap tempat ini perfect. Rumput hijau dan luas seluas mata memandang dan korang boleh berguling dan menari ala-ala tarian Bollywood. Tidak. Tidak sama sekali kerana korang akan jumpa tompok-tompok tahi lembu. Kalau nak bergambar dengan lembu tidak ada masalah. Mana tahu korang jadi Mowgli Malaysia yang baharu?

Tak tahu juga jalannya biarpun sudah google maps, apple maps mahupun Waze. Boleh contact aku. Nanti aku explain jalan dengan petanya sekali. Tak tahu juga dan nak tolong aku tunjukkan juga? Bagitahu aku, mana tahu aku baik hati untuk tunjukkan jalan sampai ke sini.

Model Bollywood



LATA KAHSMIR DI JELI : TEMPAT WAJIB SINGGAH DI KELANTAN LATA KAHSMIR DI JELI : TEMPAT WAJIB SINGGAH DI KELANTAN Reviewed by Hafizin Jamil on Wednesday, August 26, 2020 Rating: 5

No comments:

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.

Powered by Blogger.