BERBASIKAL DAN CAMPING DI LATA Y, KUALA KRAI - PART 1

Air Terjun yang berbentuk huruf Y.

Sudah banyak kali melintas di wall Facebook aku gambar Lata Y. Sungguh cantik. Airnya membiru, seperti kolam renang. Air terjun yang bercabang dua dan turun menjadi satu seakan huruf Y. Ahhh... seolah memanggil untuk menjenguk keindahan alam di sana.

DI MANA LATA Y?

Lata Y ini terletak di daerah Kuala Krai dan lebih tepat lagi berada di Batu Mengkebang, Kuala Krai, Kelantan. Ianya hampir dengan sempadan negeri Terengganu. Dari Batu Mengkebang, perlu lalu jalan balak sejauh 19 KM untuk bertemu dengan Lata Y. Jalan balaknya masih aktif dengan lori-lori balak yang keluar masuk.

Kalau search dalam google maps, ada tempat yang bertanda Lata Y. Kalau yang tak pernah sampai lagi dan plan nak berbasikal, download maps kawasan tersebut untuk digunakan ketika offline. Line telefon memang tak ada dekat sana. Kalau download siap-siap offline maps, nanti boleh guna biarpun tak ada data internet.

PLAN LAST MINIT

Aku punya plan adalah plan last minit. Plannya adalah dengan berbasikal dari Batu Mengkebang dengan melalui jalan balak untuk sampai ke Lata Y. Aku jadi yakin bila tengok sudah ada friend Facebook yang sampai dengan berbasikal. Ahhh.. mesti trek dia santai je. Orang lain boleh sampai, takkan aku tak boleh?

Kumpul punya kumpul, tanya kawan yang ada basikal, maka jadilah plan dengan 4 buah basikal semuanya. Tapi, keyakinan aku tidak seratus peratus. Aku rancang untuk sediakan juga powil 4x4 sebagai backup sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini. 19 KM ini jauh, kalau terjadi macam-macam benda, tak ada backup susah juga. Jadi, ada juga sebuah powil sebagai backup.

HARI KEJADIAN

Pada hari kejadian, hari Jumaat 16 Oktober 2020, kesemua yang ada berkumpul di Masjid Batu Mengkebang. Kesemua yang akan pergi ke Lata Y berjumlah 7 orang termasuk dengan pemandu Pajero. Pemandu Pajero adalah bekas anak murid aku yang sememangnya menetap di Batu Mengkebang. Aku tanya Pajero dari mana. Katanya Pajero ayah yang guna untuk kerja-kerja balak. Selesai. Maknanya memang sudah digunakan untuk kerja-kerja lasak.

Tapi, dari 4 buah basikal yang dirancang, hanya 3 buah basikal sahaja yang berjaya diangkut turun di Batu Mengkebang. Bermakna 3 buah akan kayuh basikal, baki 4 orang lagi akan berada di atas powil sebagai escort. Yang berbasikal adalah aku, koha dan juga aiman. Yang menaiki Pajero pula adalah Hasif, Hatem, Hazim dan Danish.

Masa hampir menunjukkan pukul 10 dan kami memulakan perjalanan mengayuh basikal yang diiringi dengan Pajero ke Lata Y. Lata Y... kamu tunggu, kami datang menjenguk mu!

UNDERESTIMATE

Mula-mula mengayuh masih lagi ceria dan gembira. Tak sabar rasanya. Pada ketika ini aku terlalu underestimate mengayuh jalan off-road. Sebelum ini kalau kayuh atas jalan raya tak terasa letih. Santai dan bersahaja. Jadi, bagi aku tentu sama saja dan tak ada masalah dengan stamina aku. Pada awal jangkaan aku.

Lepas 2 KM mengayuh sudah terasa mengah dan letih. Off-road ni jangan dibuat main tuan puan. Naik bukit memang minta nyawa la. Kayuh punya kayuh, rasanya berpuluh-puluh kali aku kayuh tapi tayar bergerak tak sampai sedepa pun. Aduuu... la. Memang minta jantung lebih masa tu. Kalau berhenti, nanti tergolek turun, nak turun tolak basikal rasa macam tengah syok kayuh. Jadi, kalau stamina dah habis, memang jalan penyelesaian adalah dengan turun dan tolak sahaja basikal tu.

Aku tak terkecuali. Turun dan tolak basikal. Siap tolak dan habis bukit, aku terduduk. Rasa menyesal dan rasa malu sendiri kerana terlalu memandang rendah terhadap kayuhan basikal di jalan off-road. Masa ni sudah penat. Aku terduduk di bawah bayang pokok. Powil sudah jauh ke hadapan. Aku tekad dan nekad, jumpa powil kat depan, aku nak angkut basikal letak atas powil. Nak naik Pajero, dah tak nak kayuh basikal.

Jalan off-road dengan mendaki bukit ditambah cuaca panas telah menjatuhkan semangat aku yang dari tadi berkobar-kobar. Paling menjatuhkan semangat aku adalah panasnya matahari. Mata pun jadi berpinar. Kulit bagai disiat. Kerongkong perit dan pedih meminta disumbat air. Apa yang paling best masa tu? Paling best bila turun bukit dengan basikal. Laju je menurun yang kadang-kadang perlu guna brek. Yang ini adalah perasaan yang paling best masa tu. Yang lain? Semua cabaran yang menyakitkan otak dan mental. 

Ketika ini, bibir Aiman dah pucat dan putih. Aku perasan yang dia pun dah tak larat. Yang bersemangat dan masih bertenaga ketika itu adalah Koha. Stamina babi ke apa dia ni. Selepas berehat, aku dan Koha menyimpang ke sebelah kanan. Ada sungai yang cantik. Luas tapi cetek. Memang port yang baik untuk berehat dan menghirup air. Air pun ada warna kebiru-biruan. Memang kami semua tak bawa air. Air mineral, air gas semua berada di dalam powil. Boleh nampak tahap underestimate dia?


Menghirup air sungai yang segar sudah dapat menghilangkan dahaga dek bahang kepanasan mentari. Cuaca yang baik 2 3 hari sebelum ini menjadikan air sungai ini jernih. Kalau hujan, mesti susah nak dapat air jernih macam ni. Mesti air keruh disebabkan air lumpur yang turun kerana pembalakan. Kawasan ini kalau nak dijadikan port camping pun okay juga. Tapi tak ada pokok-pokok yang tinggi. Kalau hujan, memang basah terus la khemah. Tak ada daun-daun untuk dijadikan teduhan yang menadah titik air hujan terus jatuh menimpa bumi.

Usai menikmat air sungai di sini. Aku dan Koha meneruskan perjalanan. Tak sampai 2 minit. Aiman sudah terduduk dan pajero pun ada sekali. Mereka menemani Aiman. Katanya Aiman siap muntah bila memberhentikan basikal. Muntah tu. Sebelum ni bukan main cakap besar nak kayuh sampai Lata Y. Sekarang boleh tahu la trek dia macam mana nak kayuh basikal.


Masa jumpa Pajero tu, aku dah nekad tak nak kayuh. Nak angkut basikal dan teruskan perjalanan ke Lata Y dengan Pajero. Tapi, nampaknya ada yang nak jadi hero dengan sanggup untuk tukar tempat. Aku naik Pajero, dia naik basikal pula. Nak test katanya. Katanya stamina dia sangat kuat dan sudah terkenal dengan orang yang kuatnya stamina. Nanti kita tengok jauh mana dia dapat pergi.

Aku tengok maps. Rasanya baru dalam 7 KM aku jauh. Tidak sampai separuh lagi perjalanan. Perjalanan diteruskan. Aku sudah berada di atas Pajero. Yang berbasikal pula adalah Koha, Hatem dan juga Danish. Kita tengok sejauh mana mereka dapat pergi. Berjaya sampai ke Lata Y atau pun tidak?

BERBASIKAL DAN CAMPING DI LATA Y, KUALA KRAI - PART 1 BERBASIKAL DAN CAMPING DI LATA Y, KUALA KRAI - PART 1 Reviewed by Hafizin Jamil on Tuesday, October 20, 2020 Rating: 5

3 comments:

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.

Powered by Blogger.