KRONOLOGI PKPD DI MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN AL-ASRIAH


Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Asriah dikenakan perintah PKPD bermula 23 April sehingga 6 Mei. Nampaknya MTAQA turut mengikuti jejak sekolah tahfiz yang lain. Mula-mula sekali sekolah SMU Bunut Sarang Burung, kemudian Kolej Tahfiz Sains Kok Lanas, kemudian MTAQ Pulai Chondong dan akhirnya MTAQA Banggol Chicha.


Ada orang kata ini adalah agenda freemason untuk menghapuskan pelajar-pelajar tahfiz di bumi Kelantan. Betul ke?


Kalau betul, bermakna agenda mereka masih lagi tidak berjaya kerana virus ini lebih merbahaya kepada pesakit yang mempunyai antibodi yang lemah dan juga yang mempunyai penyakit kritikal. Tapi, pelajar ini antibodi dia masih berada di fasa sedang membina. Mungkin ada yang sudah matang, jadi tak semudah itu virus ini untuk menyerang dan meruntuhkan sistem antibodi pelajar tahfiz.


Lagipun, setiap hari sel-sel badan pelajar tahfiz dijamu dengan zikir dan alunan ayat-ayat al-Quran. Ayat kebal, ayat pengasih, ayat pelindung semua dibacanya dan didengarkan kepada sel-sel badan, nescaya badan mereka lebih kuat berbanding manusia biasa. Bukan kah begitu?


Nak berborak dekat kedai kopi boleh la macam tu. Semuanya kita berserah kepada Allah. Tawakkal dan bergantung harap hanya kepada Allah. Benda sudah terjadi. Yang memberi sakit adalah Allah, dan yang menghilangkannya juga adalah Allah. Lari beribu batu hatta menyorok di dalam gua, jika Allah menghendakinya sakit, nescaya sakitlah badan kita. Percaya? Kena juga percaya!


Kita cuma perlu berusaha untuk menghindarinya. Praktik segala saranan dari KKM, amalkan SOP yang telah ditetapkan, itu adalah sains untuk mencegah perkara ini dari merebak dan menjangkiti kita. Kalau terjadi juga? Itu diluar kawalan kita. Itu adalah kehendak Allah. Yang terutama, kita sudah berusaha untuk menghindarinya.


Berjayakah agenda freemason tadi?


Untuk mematikan pelajar tahfiz, mereka tidak berjaya.


Untuk melalaikan pelajar tahfiz dari al-Quran, ya. Mereka berjaya.


Jadi, bagaimana penularan virus COVID-19 ini berlaku di MTAQA Banggol Chicha?


  1. Semua pelajar tingkatan 2 hingga 5 lapor diri di asrama pada 2 April 2021 untuk memulakan sesi persekolahan pada 4 April.

  2. Pelajar tingkatan 1 pula datang mendaftar pada 3 April 2021.

  3. Punca kes ini adalah dari pelajar tingkatan 1 yang dihantar oleh abangnya pada 3 April 2021.

  4. Abangnya didapati positif COVID-19 pada 8 April 2021.

  5. Pada 10 April, pihak sekolah mendapat makluman daripada PKD KB bahawa pelajar tingkatan 1 adalah contact rapat kepada abangnya.

  6. Pada 11 April, pelajar tersebut dibawa oleh warden ke KKB Pasir Mas untuk menjalani saringan dan kemudian dimasukkan ke Pusat Kuarantin SSTP untuk isolasi pada hari yang sama.

  7. Kemudian, pelajar tadi didapati positif COVID-19 pada 13 April dan dimasukkan ke PKRC.

  8. Pihak sekolah menunggu arahan KKM untuk tindakan yang seterusnya terhadap pelajar yang berada di sekolah.

  9. Tindakan pihak sekolah cuma mengasingkan pelajar tingkatan 1 daripada bercampur dan bergaul dengan pelajar lain. Kawasan dorm mereka di asrama dipagari dengan tape merah seawal 11 April lagi.

  10.  Pada 17 April, seorang guru didapati positif setelah menjalani saringan pada 14 April kerana mempunyai gejala demam.

  11. Pada 18 April, seramai 43 orang pelajar tingkatan 1 dan seorang warden menjalani saringan di perkarangan asrama MTAQA oleh pihak KKM.

  12. Daripada 43 orang tersebut, seramai 28 orang didapati positif. Ekoran daripada itu, ianya telah menarik perhatian KKM dan MKN untuk melaksanakan PKPD di MTAQA sebagai pencegahan daripada merebaknya virus ini kepada orang lain.

  13. Pada 21 April, seramai 11 orang guru dan 65 orang pelajar yang mempunyai gejala turut menjalani saringan di MTAQA.

  14.  22 April diumumkan PKPD bermula 23 April - 6 Mei


Ini adalah kronologi dan benda ini berlaku dengan cepat dan pihak pentadbiran mengalami kesukaran untuk bertindak kerana semuanya berpandu arahan daripada KKM.


Ibu bapa tingkatan 1 sangat bagus. Mereka tenang saja. Tidak kalut dan tidak terburu-buru dan menyerahkan semuanya kepada pihak sekolah dalam mengendalikan anak-anak mereka.


Mereka siap mencadangkan supaya pihak sekolah membuka peluang kepada ibu bapa untuk memberi sumbangan. Sumbangan itu digunakan untuk membeli suplemen dan vitamin C kepada anak-anak mereka sepanjang diasingkan dengan pelajar lain sebagai ikhtiar untuk meningkatkan antibodi anak-anak.


Tetapi ada ibu bapa pelajar (bukan pelajar tingkatan 1) yang menyalahkan pihak sekolah. Apa yang pihak sekolah buat untuk mencegahnya lebih awal bila mendapati seorang pelajar telah positif?


Sebenarnya pihak sekolah juga tidak tahu apa tindakan yang sepatutnya dilakukan. Cuma tindakan sekolah adalah mengasingkan pelajar tingkatan 1 dari bercampur dengan pelajar yang lain. Dalam masa yang sama, pihak sekolah juga menunggu arahan daripada KKM. Apa tindakan yang jelas dari pihak sekolah adalah dengan tidak membenarkan pelajar pulang lebih-lebih lagi pelajar yang bergejala.


“Jika anak saya positif, saya nak saman pihak sekolah dan juga KKM.” Ini adalah antara kata-kata ibu bapa berbentuk tulisan yang dilontarkan di dalam group whatsapp kelas. Tidak berpuas hati kerana pihak sekolah tidak mengambil tindakan awal daripada mencegah virus ini daripada menular. 


Sangat tidak profesional. Sangat tidak membantu pihak sekolah.


Sepatutnya kita saling berganding bahu, merapatkan saf. Saling sokong-menyokong, bantu membantu untuk memberi semangat dan kekuatan dalam mengharungi wabak ini. Bukan masanya untuk menuding jari mencari siapa yang salah. Bukan masanya untuk menjadi hina dengan melontarkan kata-kata hasutan untuk menyalahkan pihak sekolah.


Sedangkan sekolah 100% menunggu arahan daripada KKM untuk melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan. Sekolah tidak terburu-buru mengarah untuk semua pelajar. Sekali lagi saya menegaskan yang sekolah menunggu arahan dan saranan daripada KKM untuk tindakan yang setersunya.


Jika tidak mampu menjadi seseorang yang memberi kebaikan, jangan jadi seseorang yang mencetus keburukan.



KRONOLOGI PKPD DI MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN AL-ASRIAH KRONOLOGI PKPD DI MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN AL-ASRIAH Reviewed by Hafizin Jamil on Saturday, April 24, 2021 Rating: 5

No comments:

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.

Powered by Blogger.