TRIP CAMPING LATA Y 2.0, KUALA KRAI, KELANTAN




TRIP LATA Y

31 MAC – 01 APRIL

Trip ini sudah dirancang berkali-kali namun banyak halangan sehingga akhirnya berjalan dengan lancar pada 31 Mac. Kebetulan 31 Mac adalah cuti pertengahan penggal untuk sesi persekolahan, maka aku juga turut cuti.

Memang kebiasaanya, sesuatu trip atau sesuatu program yang dirancang sangat awal dari Tarikh kejadian, kadang-kadang tidak menjadi. Ada yang kecundang di pertengahan jalan, ada yang berubah rancangan sehingga terlampau banyak dan akhirnya trip juga tidak berjaya. Namun, tidak dinafikan, ada trip yang berjaya dengan cemerlang dengan rapinya aturan bermula awal perancangan lagi.

Jadi, untuk trip kali ini, rancangan sudah ada dua bulan awal. Rancangan untuk ke Lata Y, Kuala Krai. Tapi, butiran terperinci untuk ke sana masih lagi dalam perbincangan. Antara halangan terbesar adalah kenderaan untuk dibawa masuk ke sana dan bilangan ahli yang ingin turut serta ke sana.

Kadang-kadang, ada ahli yang cukup. Maksud cukup di sini adalah ahli yang melebihi 5 orang. Untuk trip camping sebegini, ada orang yang suka jika trip itu antara 2-4 orang. Ada juga yang suka jika trip camping melebihi 4 orang. Katanya mereka, nanti dekat tapak perkhemahan tidak sunyi. Terpulang. Citarasa masing-masing. Itulah uniknya makhluk yang bergelar manusia.

SEHARI SEBELUM

Sehari sebelum kejadian, jiwa aku terasa ingin masuk hutan dan mencium bau hutan. Terasa ingin mendengar deru sungai yang mengalir dan melanggar bongkah-bongkah batu besar yang berada di tengah-tengah arus sungai. Tambah lagi, cuaca sekarang yang teramat panas, menyebabkan ingin sangat aku berendam di dalam air sungai. Air sungai yang puncanya dari puncak bukit, terasa amat nyaman dan sejuk.

Aku terus menghubungi Hasif. Hasif adalah ejen terbaik setakat ini untuk membawa aku ke Lata Y. Tambah-tambah lagi dia adalah penduduk tempatan di sana, Batu Mengkebang.

“Sif, boleh masuk ke Lata Y tak esok?” Aku terus bertanya sebaik saja panggilan aku di sahut oleh Hasif.

“Boleh ustaz. Esok boleh. Berapa orang nak masuk?” Hasif membahasakan diri aku dengan panggilan ustaz. Entah mengapa. Mungkin aku ini nampak seperti ustaz. Berjanggut dan berjambang dan wajah pula bersih dan suci. Entah.

“Berapa orang tu tak pasti lagi Sif. Kalau Sif cakap okay, nanti ustaz cari orang. Nanti ustaz pastikan semula dengan Sif berapa orang nak pergi. Okay?”

“Okay ustaz. Beres. Assalamualaikum.” Hasif terlebih dahulu mematikan perbualan dengan ucapan salam.

“Waalaikumusalam,” aku menjawab salam dan mematikan panggilan.

Kemudian, bermulalah proses untuk aku mencari ‘line-up’ ataupun ahli yang ingin turut serta ke Lata Y. Aku hubungi semua yang sebelum ini ingin ke Lata Y. Matyi, Munim, Koha adalah antara nama-nama yang bersetuju untuk pergi.

Aku turut buat story di Instagram. Acah kononnya buat trip besar dengan mengenakan RM 50 untuk ke Lata Y dan ada 2 kekosongan saja lagi. Dari story Instagram, sepasang kembar mengatakan hasrat untuk turut serta. Okay. Cukup. Trip boleh jalan.

Aku, Hasif, Koha, Matyi, Hatem, Hazim, dan Munim. 7 orang. Cukup la untuk camping. Tak adalah berasa kesit sangat dalam hutan nanti.

Tapi 7 orang muat ke kenderaan Hasif. Kata Hasif nak masuk dengan Hilux. Muat ke? Barang-barang lagi.

Jawapannya tidak muat. Tetapi nasib kami baik kerana Munim ada sebuah jip model Jimny dan kebetulan dia baru nak test power offroad dengan Jimnynya. Jimny yang baru dibeli dan baru diservis beberapa bahagiannya. Okay. Kita tengok sejauh mana powernya Jimny yang dipacu dengan enjin cc 1.3.

SAMPAI DI MASJID MENGKEBANG

Sememangnya ini adalah meeting point. Tempat berkumpul. Kami sampai lebih kurang jam 11 pagi. Sebuah Jimny dan Persona yang seperti akuarium. Cerminnya clear tanpa ada tinted seperti sebuah akuarium.

Kami menunggu Hasif. Katanya dia tiada di rumah dan akan sampai sebentar lagi.

Sampai Hasif denga Hilux buruk. Badan Hilux penuh dengan lumpur dan bodynya juga penuh dengan kerat. Memang betul-betul usang. Entah mampu entah tidak untuk membawa makhluk yang akan menaiki badannya ke Lata Y.

Ada masalah. Kata Hasif minyak untuk Hilux itu kurang dan kemungkinan tidak mencukupi untuk sampai ke Lata Y. Dia pula malas nak pergi ke pekan di luar sana untuk mengisi minyak sebab dia baru je sampai. Lebih kurang 12 KM juga dari masjid mengkebang nak ke Pekan. Jauh. Dan mengambil masa juga.

Jadi, dia menelefon kawannya dan meminta supaya membeli minyak di dalam tong dan membawa masuk ke Masjid Mengkebang.

Entah. Kawan Hasif ini pergi gali telaga minyak yang baru atau baru nak mencari peralatan untuk menggali telaga minyak. Memang lama. Setengah jam berlalu tapi belum lagi sampai minyak yang dipesan.

Aku sudah tidak sabar memandangkan waktu Zohor akan masuk tidak lama lagi. Nanti masjid akan dipenuhi dengan orang kampung. Aku bagi cadangan kepada Hasif untuk pergi mengisi minyak di pekan sana. Padahal bukan cadangan sebab Hasif memang tahu lebih baik untuk mengisi minyak di luar, tapi itulah Hasif. Dia seorang pemalas dan nak buat sesuatu kena ikut mood dia. Jadi, pembetulan, bukan cadangan tapi pujukan supaya Hasif keluar juga ke pekan untuk mengisi minyak.

Akhirnya Hasif bersetuju. Aku masuk ke dalam Hilux dan Hasif memecut seakan-akan laju menuju ke pekan untuk mengisi minyak Diesel untuk Hilux yang serba usang ini. Kira-kira 10 minit, kami sampai di Pekan. Hasif memilik stesen minyak Caltex dan berhenti di pam Diesel. Aku turun dan membayar di kaunter sebanyak RM 30 untuk mengisi minyak Diesel. Dapat dalam lebih kurang 14 liter. Cukup la tu untuk sampai ke Lata Y.

Siap isi minyak, aku naik dan tengok meter minyak di dashboard. Rupanya meter minyak rosak. Tak tahu berapa banyak minyak yang telah diisi untuk berpandukan kepada meter minyak. Jadi, anggaran saja. Anggap saja 14 liter sudah mencukupi. Hasif pun cakap yang 14 liter ini sudah memadai untuk sampai ke Lata Y dan kembali pulang.

GERAK

Hampir pukul 1. Kami bergerak dari Masjid Mengkebang menuju ke Lata Y. 5 orang menaiki Hilux usang Hasif iaitu, Hasif, Matyi, Hazim, Hanif dan Syamil. Manakala Jimny pula dinaiki oleh Munim, Koha, Hatem dan aku.

Belum sampai 2 KM melalui jalan offroad, Hilux putih sudah tidak mampu untuk mendaki jalan yang sedikit berbukit. Mungkin tanah yang lembik disebabkan hujan oleh malam tadi. Jadi, semua penumpang keluar daripada kereta dan menyerahkan kepakaran kepada Hasif untuk mendaki jalan yang berbukit tersebut. Setelah berpulas dan Hilux mengeluarkan asap hitam, berjaya juga akhirnya Hilux.

Kini, tiba pula giliran Jimny. Dari tadi asyik memerhati Hilux yang usang memerah kudrat untuk melepasi jalan berbukit.

Tidak seperti yang dijangka. Jimny semput dan mati sebelum melepasi bukit. Indah cuma diluaran sahaja. Macam mana ni? Hilux dah jauh kedepan memecut meniggalkan kami.

“Rileks. Aku tahu apa penyakit dia ni. Karburetor masalah ni. Dia tak sempat angin dan minyak tak sempat sampai disebabkan jalan yang menaik.” Munim selaku tuan Jimny cuba menenangkan perasaan kami yang tidak sedikit pun panik.

“Har, cuba pusing suis dan tekan pedal minyak. Aku try main dengan karburetor ni.” Munim memberi arahan meminta pertolongan. Aku yang di belakang dengan Hatem Cuma menyerahkan saja kepada mereka berdua. Maklum la, Jimny hanya punya 2 pintu sahaja. Orang yang di belakang kalua nak keluar kena lipat dia punya seat di hadapan.

5, 6 kali mencuba. Akhirnya Jimny dapat dihidupkan. Tersenyum Munim. Nampak hilang riak kegusaran di wajahnya.

“Aku dah cakap. Masalah karburetor. Kalau dah tahu penyakit apa, senang sikit nak berubat.” Munim mengiyakan sekali lagi masalah Jimnynya.

Bukit yang becak dengan lumpur tadi akhirnya kami dapat harungi dengan cemerlang dan disudahi dengan sorokan sebagai tanda terima kasih kepada pemandu Jimny, Munim.

Tapi, ini baru yang pertama. Sebelum sampai di Lata Y, acap kali Jimny mati di pertengahan menaiki bukit. Entah. Kami tidak tahu sama ada lemahnya Jimny atau kurangnya pengalaman pemandu. Mungkin kedua-duanya sekali.

Disebabkan Jimny yang acap kali mati, perjalanan kami yang sepatutnya mengambil masa 2 jam telah menjadi 3 jam. Bayangkan berapa banyak Jimny mati di pertengahan jalan yang jaraknya 20 KM?

Perit ke naik Jimny? Kalau aku, tak perit sebab aku di belakang. Jimny mati, orang lain yang kena turun dan selesaikan. Jadi, macam bos pula aku kan? Takkan jadi bos pun boleh perit?

SAMPAI

Akhirnya, pukul 3 petang kami sampai di Lata Y. Nampaknya Hilux sampai terlebih dahulu daripada kami. Mungkin 10-15 minit awal daripada kami.

Puas. Puas hati bila sampai di Lata Y dan disajikan dengan pemandangan yang begitu memukau mata yang memandang. 2 air terjun dari atas yang turun mengalir menjadi satu air terjun di bawahnya. Membentuk menjadi huruf Y. Aku yakin, ini adalah sebab kukuh tempat ini dinamakan dengan Lata Y.

Angin yang tidak pernah berhenti menyapa wajah terus menghilangkan segala kekusutan dan keletihan dalam perjalanan yang memakan masa 3 jam. Air yang membiru, deru sungai yang menyamankan hati dan perasaan, semuanya terasa berbaloi menempuh perjalanan yang terik dengan panas matahari.

“Eh, lapar. Jom la makan dahulu nasi bungkus tadi.” Suara Koha memecahkan suasana yang mana semua orang sedang menikmati indahnya alam ciptaan Tuhan.

“Jom,” serentak menjawab.

Apa lagi. Masing-masing mengambil nasi dan duduk di atas batu menghadap air terjun. Biarpun nasi berharga RM 3.50, tapi pemandangan di hadapan adalah sesuatu yang tidak ada tanda harga. Puas. Memang terasa puas. Puas hati.

Tapi ada sesuatu yang tidak memuaskan hati kami semua. Tapak kem untuk berkhemah yang betul-betul mengadap air terjun bertakung dengan air hujan. Kami seramai 9 orang memang tidak muat untuk bermalam di situ.

Setelah difikir-fikirkan, kami membuat keputusan untuk mencari campsite yang agak sesuai untuk bermalam sepanjang perjalanan turun. Sekiranya tak ada, kami tekad untuk bermalam di campsite di pertengahan jalan. Campsite khusus yang mana memang majoriti yang datang akan bermalam di situ. Daripada tidak ada, dekat situ pun jadilah.

CAMPSITE

Dalam perjalanan turun, Jimny berkhidmat dengan cemerlang. Tidak pernah mati dan tidak pernah membuat masalah. Ajaib. Tidak ada lagi masalah karburetor. Adakah skil pemanduan pemandunya sudah meningkat?

Dalam perjalanan turun, ada satu tempat lapang yang masih lagi mempunyai pokok-pokok yang tinggi. Seperti pernah ada yang singgah untuk berkhemah dan bermalam di situ. Pokok yang banyak memang sangat sesuai untuk memasang hammock. Setelah dilihat keadaan sekeliling, keadaan air sungai, kami membuat keputusan untuk bercamping dan bermalam di situ.

Hammock di pasang di batang-batang pokok. Khemah didirikan. Satu open tent dan satu khemah sendirian berhad. Semua memberi kerjasama yang baik. Tidak perlu disuruh dan tidak perlu menyuruh. Apa yang penting? Kerjasama!

Siap semuanya. Jadi, apa yang ditunggu lagi. Dari tadi lagi badan terasa panas dan ingin merasa dinginnya air sungai yang mengalir di bawah. Aku tidak membuang masa. Terus menanggal baju dan menuju ke arah sungai.

Badan direndam di dalam air. Fuhhhh… nikmat betul sejuknya air di kala badan yang hangat kepanasan. Nikmat Allah yang mana lagi ingin didustakan? Seringkali dimonolog oleh hati, tapi seringkali juga diingkari oleh anggota badan sendiri. Tidak kuat menahan godaan nafsu. Digapai nikmat Allah, tapi acap kali juga mengkufurinya dengan melakukan maksiat dan dosa terhadap Allah. Astaghfirullah. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kami semua.

MAKAN MALAM

Menu makan malam kami pada malam itu adalah nasi putih, sardine, dan telur dadar. Tapi, ada satu peristiwa yang pada mulanya menghampakan kami semua. Kami hampir pasrah dan reda yang kami akan kelaparan pada malam itu.

Hilux yang mengandungi segala barangan dapur untuk dimasak oleh kami diambil oleh kawan Hasif. Katanya nak pergi cari line telefon untuk menghubungi ayahnya dan memberitahu bahawa dia akan bermalam di hutan. Dia risau sekiranya ayahnya menanti kepulangannya dan akhirnya ayahnya membuat keputusan untuk membuat laporan polis.

Kawan Hasif yang bernama Hanif ini membawa Hilux ketika mana kami semua sedang bermandi-manda di sungai. Jadi, kami pasrah dan dalam masa yang sama melahirkan rasa kekesalan terhadap perbuatan Hanif. Kami membayangkan yang kami cuma makan nasi kosong. Nak berlaukkan garam pun tidak dapat kerana garam juga berada di dalam Hilux.

Kami menjangkakan untuk mencari line telefon, Hanif perlu membawa Hilux hampir ke titik permulaan kami memasuki jalan balak. Kami membayangkan mungkin mengambil masa sejam pergi dan sejam untuk kembali semula ke campsite.

Pasrahlah kami sambil menuggu nasi masak. Nasi pun ada sedikit bau hangit dek kerana ada yang lupa untuk mengecilkan api bila air di dalam periuk mengering.

Tapi pasrah kami tidak lama. Hampir Maghrib, Hanif tiba dengan Hilux. Tidak sampai 2 jam. Cuma 40 minit. Semua menunjukkan muka ceria dan suasana kembali menjadi gembira.

Telur dipecahkan dan dikocak di dalam bekas untuk dibuat telur dadar. Tin sardine dibuka dan dimasak dengan ringkas. Menu yang dirancang menjadi juga akhirnya. Kami dapat makan malam sebelum hari menjadi gelap. Nikmat betul walaupun berlaukkan sardine dan telur dadar. Perasaan dia lain sangat. Tidak terungkap dengan kata. Seperti berada di alam sebalik mata.

Azan Maghrib dilaungkan. Kami solat Maghrib. Sambil menanti Isya’, kopi panas sebagai peneman diri. Berborak merentas masa lepas sebagai pembangkit memori yang telah lama dan semakin kabur. Sesekali ada memori indah yang membuatkan kami ketawa gembira bila mengenangkannya. Sesekali juga ada memori yang menyedihkan namun kami tidak sedih, tapi turut bergembira. Memori sedih atau gembira, semuanya membuat kami menjadi semakin kuat pada hari ini.

BBQ

Usai saja solat Isya’, arang sudah disiapkan untuk dijadikan bara. Ayam yang telah diperap pada tengah hari tadi ketika sampai di air terjun Lata Y, kami bawa keluar. 2 ekor ayam yang ditaja oleh Hatem dan diperap sendiri oleh aku menggunakan pemerap ajaib Chef Faiz dikeluarkan daripada kotak polisterin putih.

Kotak polisterin tersebut diletakkan air batu untuk mengelakkan ayam dari menjadi busuk dan nasib kami malang kerana air yang mencari dari air batu tersebut telah masuk ke dalam plastic ayam yang telah diperap.

Mesti rasanya tidak kaw dan padu. Hmmm. Tapi tak mengapa. Kami pasrah. Benda yang sudah terjadi. Boleh jadikan pengajaran untuk trip selepas ini. Pengajarannya, ayam ini tahan sekiranya dibeli pada waktu pagi, diletakkan di dalam kotak polisterin dengan ais dan dibakar pada waktu Isya’ pada hari yang sama. Jangan risau ayam akan rosak dan berbau busuk.

Peraturan kami mudah saja. Bakar, siap, angkat dan terus makan panas-panas. Tak perlu nak tunggu semua ayam masak, kumpul semua sekali dan makan sekaligus. Jika dibuat sedemikian, peratus ayam untuk tidak habis akan meningkat kerana ayam sudah sejuk dan tidak sedap untuk dimakan.

Makan ayam bakar panas-panas ditemani dengan bunyi cengkerik hutan memang suatu pengalaman dan memori yang tidak dapat dilupakan. Boleh diceritakan kepada anak-anak cucu. Boleh diceritakan kepada teman sekerja dan teman setaman perumahan.

BBQ kami kali ini dipasangkan dengan air teh Yaman. Resipi baru yang aku ingin cuba pada malam itu. Teh, susu dan diadukkan sekali dengan buah pelaga, serbuk kayu manis, cengkih dan bunga lawang. Rasanya memang terangkat punggung. Sedap dan berherba. Jika dipejam mata, seolah-olah ada perempuan arab yang menari gelek di hadapan. Seakan kami semua terbang dan sedang berada di Yaman!

Tips, sekiranya mahu padukan lagi teh Yaman, guna susu asli yang segar atau yang penuh krim. Jangan guna susu pekat. Jangan tambah air, guna sepenuhnya susu tersebut. Masya-Allah, nikmat betul rasanya.

TIDUR

Ayam BBQ ada beberapa ketul saja lagi. Ada yang malu untuk melahapnya sampai habis. Mungkin tunggu tiada mata yang memerhati. Teh Yaman juga tinggal sedikit saja lagi. Mata masing-masing sudah berat dan ingin beradu di hotel 5 bintang yang tidak berdinding. Cuma atap flysheet saja yang nipis.

Malam itu tidak ada angin. Tiada hembusan angin yang ingin menyapa tubuh kami. Tiada deru angin untuk membaluti tubuh kami. Jadi, agak panas juga. Kami tidur ditemani bintang, pokok, deru sungai dan bunyi-bunyi cengkerik malam. Nyaman diulit dan mimpi indah pun bertandang.

BANGUN PAGI

Pagi itu sungguh nyaman sekali. Alarm di telefon bimbit aku berbunyi tepat pada jam 5 pagi. Aku sedar dan terus mematikan alarm. Masih lagi sejuk dan tidak cukup kuat untuk melawan beratnya kelopak mata. Tidur aku disambung. Tidur yang tidak bermimpi.

Sejam kemudian aku bangun. Mengambil masa seketika termenung di atas hammock sambil menikmati segarnya udara. Oksigen yang diambil terus daripada pokok-pokok yang berada di sekitar. Tanpa pencemaran dan tanpa usikan partikel-partikel jahat yang mengacau.

Terus aku ke sungai. Membasuh muka dan mengambil wudhu’. Sekeliling sungai masih lagi gelap. Derunya saja yang mengalir tanpa henti dan tanpa letih sejak kami tiba semalam. Headlamp berjenama Nitecore sentiasa tersemat kemas di kepala. Sesekali aku mendongak menyuluh ke seberang sungai. Gelap. Cuma pokok-pokok yang tebal ada di sebelah sana.

Kadang-kadang, ada juga terbayang di kepala aku ada satu lembaga putih yang berada di dahan-dahan pokok di seberang sungai. Rambutnya mengurai panjang menutup kesemua wajahnya. Tiada kaki tiada tangan dan seolah-olah ditenung aku yang berada di tepi sungai. Cepat-cepat aku menepis gambaran tersebut. Seram. Andai betul-betul terjadi, betul-betul ada?

Aku terus menunaikan solat Subuh. Usai solat dan sedikit zikir ringkas, aku terus menyalakan sumbu mercun bola.

“Boommm!” satu dentuman yang memecah heningnya pagi.

“Bangun! Bangun! Solat Subuh!” Aku mengejut kawan-kawan yang lain untuk solat Subuh. Tapi semuanya tidak memberi reaksi. Satu lagi mercun bola aku nyalakan sumbu dan aku campak berhampiran dengan khemah.

“Boommmm!”

“Bangun! Bangun! Solat dulu.” Nampak ada yang sudah menunjukkan reaksi. Menunjukkan tanda bahawa mereka sudah bangun dan seolah-olah mengisyaratkan supaya tak perlu lagi menyalakan mercun. Mereka sudah jaga.

SARAPAN PAGI

Kesemua sudah bangun. Tinggal Hasif, Koha dan Munim sahaja yang sambung tidur. Perut sudah lapar, matahari semakin menunjuk wajah bermakna dapur mesti berasap.

Menu pagi itu adalah spageti carbonara. Aaahhh. Makanan western di pagi hari di dalam hutan. Menarik bukan?

Tak semuanya menarik. Bagi yang tekak kampung macam aku, kalau pekena kopi o panas dengan biskut hup seng, tu lagi menarik rasanya. Rasa bayu pagi yang sejuk, di balas dengan panasnya kopi o. Perghh. Nikmat betul.

Tapi, terpaksa. Demi mencuba kelainan dan memudahkan urusan memasak, menu spageti carbonara dipilih. Tak ada kurangnya dengan spageti carbonara. Selera masing-masing. Yang penting, perut terisi dan kenyang untuk kami bersiap dan pulang.

Tak susah masak spageti. Rendam spageti dengan air sungai, masuk sedikit minyak dan garam. Letak di atas dapur yang dinyalakan api dan tunggu air tersebut mendidih. Bila mendidih, tutup api dan toskan spageti tersebut. Dah sedia untuk dimakan.

Manakala untuk kuahnya pula, aku masukkan 3 tin sos spageti carbonara. Pastikan tumis bawang merah yang dipotong sesedap rasa. Bila dah layu, masukkan sos spageti dan tunggu mendidih. Lepas tu perasakan dengan garam atau gula. Letak sebanyak mana yang mahu, janji sedap.

Kami tak bawa lauk untuk menu spageti. Yang ada cuma telur. Jadi, telur tersebut digoreng hancur untuk dijadikan lauk. Jadi la daripada tak ada lauk.

MANDI-MANDA

Siap sarapan. Kami simpan semua khemah. Simpan yang kasar sahaja. Seperti tanggalkan flysheet, buang hammock. Masa untuk kami mandi. Kami tak nak selepas mandi, jadi banyak lagi kerja yang perlu disiapkan. Lepas mandi, kami ready untuk balik. Tak nak bagi berpeluh.

Indah betul mandi di waktu pagi. Air pula tidak terlalu sejuk. Memang sesuai untuk kami berendam lama-lama. Nikmati air sungai sepuasnya sebelum kami bergerak pulang. Ketika itu, panas matahari pun belum lagi menyimbah ke tempat kami disebabkan terlindung oleh pokok-pokok yang tinggi.

PULANG

Tiba masa untuk pulang. Semua barang disimpan dan diletakkan di belakang Hilux. Tapak perkhemahan kami tinggalkan sepertimana kami sampai. Sampah yang kami bawa mari, kami bawa pulang. Kami rasakan, tapak itu memang sesuai untuk kami datang camping lain kali. Selesa dan strategik.

Perjalanan pulang kami cuma mengambil masa 40 minit sahaja untuk sampai ke Masjid Batu Mengkebang. Dalam perjalanan pulang juga, Jimny tidak pernah buat masalah. Karburetor elok sahaja tidak meragam. Jadi, adakah skil pemanduan driver semakin mantap atau memang sebenarnya Jimny tidak ada masalah? Adakah masalah yang dihadapi oleh kami semasa pergi semalam disebabkan kurangnya pengalaman pemanduan oleh driver?

Alhamdulillah. Kami selamat sampai. Terima kasih semua atas memori indah ini.

TRIP CAMPING LATA Y 2.0, KUALA KRAI, KELANTAN TRIP CAMPING LATA Y 2.0, KUALA KRAI, KELANTAN Reviewed by Hafizin Jamil on Saturday, April 10, 2021 Rating: 5

No comments:

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.

Powered by Blogger.