DIARI PKP : BREEDER CAP ROLEX DAN DR. RISWAN - PART 1


Pukul 9 pagi, Rahim sampai di depan pintu rumah. Kali ini dengan van berwarna putih. Van keluaran Nissan, model Vanette.

“Ni model Vanette jerung. Nampak garang kan?” Rahim bertanyakan kepada aku bila nampak aku tenung vannya.

“Nama memang garang Hing. Tapi, bila tengok kondisi van ni, tak nampak macam jerung. Macam sardin. Sedih.” Aku jujur menjawab persoalan Rahim yang meminta pandangan.

Dari luar memang nampak usang. Catnya yang berwarna putih sudah usang. Cermin tidak bertinted, nampak klasik. Bahagian dalam memang tidak cantik. Kenderaan yang sesuai untuk dibuat kerja. Kulit pintu sudah tercabut. Radio yang tidak berfungsi. Seat juga nampak usang biarpun dalam keadaan baik. Tapi, enjin memang
terbaik
. Tidak ada masalah meragam di tengah jalan. Boleh buat perjalanan jarak jauh tanpa henti.

“Aiii.. jujur sangat tu Mil. Tak main angin langsung.”

“Kalau dengan demo, kena jujur Hing. Nanti demo marah. Proton Evo merah kat mana?” Aku menanyakan Rahim.

“Nak pergi jauh hari ni, malas nak bawa Evo Merah. Letih bos nak bawa setakat gear 3 je”

Proton Saga merah yang biasa diguna oleh Rahim telah rosak minggu lepas. Rosak gearbox. Rosak pula dalam perjalanan. Masa nak masuk gear 5, tiba-tiba Evo Merah mengalami masalah. Gear tendang balik, tidak boleh masuk. Nasib baik gear 3 boleh guna. Nak harapkan gear 4 memang tidak boleh sebab sudah lama rosak. Hari itu, kami mengharungi perjalanan sejauh 7KM dengan gear 3 dan alhamdulillah, selamat sampai di depab rumah.

“Demo wali Hing, kalau masuk gear 3, silap-silap kereta boleh terbang.”

“Nak mula mengarut dah tu. Jom. Kita pergi rumah Breeder Cap Rolex dulu. Sarapan. Lepas tu kita pergi rumah Dr. Riswan.”

“Hander. Bunyi ganas molek. Breeder Cap Rolex dan rumah Dr. Riswan. Buat kerja rumah VIP ke hari ni?”

Soalan tidak berjawab. Kami bergerak menuju rumah Breeder Cap Rolex yang jaraknya tidak jauh dari rumah aku.

“Nak buat apa rumah Breeder Cap Rolex?”

“Nak sarapan. Dia telefon tadi, suruh sarapan rumah dia.”

Kami sampai di rumah Breeder Cap Rolex. Hanya dia sahaja yang berada di rumah. Isterinya pergi kerja dan anak-anaknya berada di rumah pengasuh.

“Assalamualaikum… Breeder Cap Rolex tu… sampai rumah dah ni.” Rahim memanggil dari luar.

Kemudian, susuk tubuh yang tinggi dan sedikit kurus keluar di sebalik pintu.

Breeder Cap Rolex adalah nama panggilan kepada Manir, kawan kepada Rahim. Diberi nama Breeder Cap Rolex kerana dia baru menceburkan diri dalam industri penternakan ikan laga dan baru-baru ini begitu semangat menerangkan kepada Rahim cara-cara untuk membiakkan (breed) ikan laga. Cap Rolex pula adalah disebabkan Manir ini selalu memperagakan jam berjenama Rolex. Entah jam siapa.

Disebabkan itu, Rahim menggelarnya dengan nama Manir, Si Breeder Cap Rolex.

Breeder Cap Rolex menghidangkan nasi bungkus kepada kami untuk bersarapan. Nasi lemak berlaukkan sambal paru dan ayam goreng. Dihidangkan bersama dengan air teh o panas. Bagusnya Breeder Cap Rolex adalah sikapnya dalam memberi makan kepada kawan-kawan. Ada saja nak bagi kawan-kawan makan sampai kawan yang dah kenyang pun dia paksa makan.

“Manir, berapa ekor dah berjaya breed ikan karin?” Rahim menanyakan kepada Breeder Cap Rolex. Ikan karin adalah gelaran popular kepada ikan laga.

Manir menjuih bibir. Muram dan suram. Matanya merenung bekas-bekas ikan karin yang tersusun rapi di atas rak Ikea. Dari jauh, ikan karin nampak cantik dengan warnanya yang berwarna-warni. Sesekali, ekornya turut mengembang dan menyerlahkan lagi kecantikannya.

“Seekor pun tak menjadi.” Ujar Breeder Cap Rolex.

“Haritu nampak panjang molek syarah macam mana nak breed ikan karin. Keba letak dalam bekas yang besar, kena asing yang jantan dan betina, kena tunggu yang jantan buat buih apa tu, tak menjadi juga?” Giliran aku bertanya.
DIARI PKP : BREEDER CAP ROLEX DAN DR. RISWAN - PART 1 DIARI PKP : BREEDER CAP ROLEX DAN DR. RISWAN - PART 1 Reviewed by Hafizin Jamil on Sunday, August 01, 2021 Rating: 5

No comments:

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.

Powered by Blogger.