KASUT TERBAIK DARI BUNDLE JT6


“Hir, ada kasut lawa-lawa tak? Nak beli. Nak pakai masa balik mengundi nanti.” Aku bertanya kepada Syahir yang kebetulan bertemu di tempat kursus tanpa dirancang.
Syahir, bukan nama sebenar. Seorang sahabat yang mempunyai bisnes kasut bundle secara kecil-kecilan.
“Kanda serius ke main-main ni?” Syahir bertanya semula. Ayat orang bisnes ni manis. Membahasakan pula diri orang lain dengan perkataan ‘kanda’. Biasanya orang bisnes, bila prospek tanya, dia tak akan closed dengan ayat tanya macam tu.
Boleh jadi memang orang bisnes sudah lali kalau-kalau ada kawan sendiri yang nak beli produk mereka. Kawan yang nak support kawan berbisnes ni ramai. Dia nak beli, tapi nak beli dengan harga murah!
“Dinda serius ni. Kanda tak bawa ke kasut letak dalam bonet kereta?” Aku mula membahasakan diri dengan perkataan ‘dinda’. Baru lawas perbualan antara kanda dan dinda. Ala-ala dialog filem Mat Kilau.
“Macam ni la. Nanti habis kursus. Kanda masuk masa dinda buat live dekat Facebook. Dalam tu kanda boleh tengok kasut macam mana dinda nak.” Serius jawapan Syahir.
“Biasanya bila kanda akan buat live?”

************

Bundle JT6 was live’ satu pop-up notification muncul di skrin telefon. Waaa… adinda kasut bundle dah buat live. Terus saja aku masuk Facebook Live dalam page Bundle JT6.
Tengok view tak ramai. Ada angka pada simbol mata di sebelah hujung atas yang menunjukkan jumlah sedang menonton live. Angka 5 terpampang. Awal-awal masih tak ramai yang tengok.
“Mari… mari… mari… Masuk tengok dulu. Mari… mari… mari...” Jelas suara adinda Syahir dari speaker telefon. Dia jauh, tapi seakan-akan berada di depan mata.
“Yang mana masuk tu, share dulu. Share dulu. Pakat-pakat share. Bagi meriah sikit. Dinda tunggu kanda-kanda semua.” Nada suaranya macam seronok. Ceria.
Walaupun tak ramai yang melihat dia sedang live, tapi dia punya ayat layanan tu seolah-olah dia sedang berada di pasar malam. Dikerumuni orang ramai yang ingin melihat barang jualannya.
Aku pun taip dekat ruangan komen, ‘Salam buat adinda.’
Terus saja komen aku dibaca oleh Syahir.
“Waalaikumusalam kanda Mil. Awal Mil masuk. Nak kasut mana Mil? Boleh tengok boleh kelih. Bagi saiz, dinda cari untuk kanda. Dijamin comel, dijamin cantik. Dinda jamin untuk kanda.” Rancak sungguh suara Syahir. Padahal aku cuma bagi salam. Panjang pula dia hurai.
Tapi, dalam live cuma ada suaranya sahaja. Muka tak ada. Cuma ada gambar kasut. Sesekali nampak lengannya yang berurat hijau sedang membelek-belek kasut. Malu mungkin. Tak pun isterinya tak bagi tunjuk muka.
‘Saiz 7.5 UK dinda.’ Satu lagi komen aku hantar dekat ruangan Facebook Live.
“7.5 UK banyak kanda. Nak yang mana. Vans ada. Converse pun ada. High cut ke low cut? Black label ke white label? Kanda sebut mari. Dinda cari untuk Mil. Hari ni semua kasut harga RM 50 sebab ada dinda Mil. Kita bagi promosi beli 1 percuma 1.”
Banyak kasut yang lawa-lawa. Rambang mata aku melihatnya.
‘Dinda pilih yang paling lawa di mata dinda. Kanda terima seadanya.’ Komen terakhir aku hantar untuk dinda Syahir.

No comments:

Post a Comment

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.