TOKO KOPI TEJA, GRIK (PART 2)



Barista di kedai Teja memakai cap berwarna biru muda, apron coklat dan berbaju hitam itu namanya Azizi Azahazuhari. Dulu rambutnya panjang persis Awie Wings tetapi kini tidak lagi. Cuma berambut pendek. Mungkin untuk nampak lebih kemas dan rapi. Jambangnya pun dah nipis. Nampak ala-ala watak Dilli dalam filem Kaithi.

Di hadapan kedainya cuma ada 2 meja dan kerusi sebanyak 8 buah. Sesuai untuk yang datang minum dan berlalu pergi. Teja sebagai tempat persinggahan memandangkan kedainya juga berada di Grik; laluan utama pemusafir yang nak Kelantan atau dari Kelantan nak ke utara.

“Ji, boleh masuk dalam ke?”

“Ya la. Masuk duduk dalam ni. Nak duduk lama kan?”

Bahagian dalam khusus untuk staf sahaja. Dan sekarang cuma dia seorang sahaja staf. Dia kuli dan dia bos.

“Ji, tak pakai pekerja ke?” Aku bertanya kepada Azizi Azahazuhari sebelum melabuhkan punggung di atas kerusi.

“Tak pakai lagi Mil. Aku nak faham dulu kos operasi dalam mainan buat kopi ni. Nanti aku nak upah pekerja, senang sikit bila dah tahu operasi dan game bisnes kopi.” Terang Azizi Azahazuhari sambil membetulkan topinya.

5 minit aku duduk, sampai secawan kopi di hadapan aku. Tanpa order, tanpa minta, siap secawan kopi untuk aku.

“Kopi apa ni Ji?” Tanya aku.

“Kopi #%^*+. Minum je.” Jawab Azizi Azahazuhari. Aku lupa apa nama jenis kopi yang dihidangkan kepada aku. Bukan Mocha, Latte, Espresso atau macam-macam menu kopi yang sering kali aku dengar.

Slurpppp. Aku menyedut kopi yang baru saja dihidang oleh Azizi Azahazuhari. Sejuk. Rasa lemak dan rasa pahit-pahit tapi sedap. Yang penting, rasa kopi. Tak pandai nak ulas, cuma rasanya rasa kopi.

Kemudian, ada seorang pelanggan datang untuk order kopi. Penuh senyuman Azizi Azahazuhari menyambut pelanggannya. Bukan senyuman memikat, tapi senyuman menghiburkan orang yang memandang.

“Bang, nak order. Nak order Hazelnut Choc satu,, Caramel Machiato dua, Salted Caramel dua.” Pesan pelanggan tadi kepada Azizi Azahazuhari.

“Okay. Lagi? Tak nak try Neko Matcha? Sedap.” Tanya Azizi Azahazuhari. Ini namanya cara nak upsell. Manis betul ayatnya.

“Tak bang. Nak yang tu je.” Balas pelanggan tadi.

Dari jauh aku tengok Azizi Azahazuhari membancuh kopi dan menyiapkan pesanan pelanggan tadi. Satu cawan demi satu cawan dia siapkan. Sungguh tersusun cara kerjanya. Yang menghairankan, Azizi Azahazuhari tak ada catit pun pesanan. Cuma berbekalkan dengan senyuman yang manis, dia boleh ingat semua pesanan pelanggan.

“Ji, boleh ingat semua ke pesanan? Tak payah tulis? Tak tertukar ke?” Tanya aku kehairanan.

“Mu ni Mil. Belajar sekolah tahfiz Pulai Chondong. Takkan sikit macam tu tak inga?!.” Jawab Azizi Azahazuhari sambil diiringi dengan gelak kecil.

Yang nyata, kopinya bukan saja sedap, tapi buah sembang dengan pemiliknya menambah lagi sedap kopi.

No comments:

Post a Comment

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.